Pasar Payang adalah sebuah pusat perniagaan tradisional yang sangat popular dikalangan pelancong yang bercuti ke Terengganu. Jika di Kelantan ada Pasar Besar Siti Khadijah, Pasar Payang pula merupakan pasar ikonik di Terengganu yang telah beroperasi sejak tahun 1964 lagi. Mengikut sejarah nama pasar ini diambil sempena ‘perahu payang’ yang sering digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di negeri tersebut.

Pasar ini dibina bagi menempatkan peniaga-peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang mana pasar tersebut telah dirobohkan. Pada awalnya ia hanyalah sebuah pasar biasa yang berasaskan kayu sebelum dinaik taraf. Pada tahun 1968, Pasar Payang telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, yang juga Yang di-Pertuan Agong ke-4 pada ketika itu . Kemudian, pada tahun 2019, bangunan lama pasar ini dirobohkan, untuk digantikan dengan pasar yang baru hingga ke hari ini.

pasar payang

ISI KANDUNGAN (Klik Untuk Terus Baca)

Cara Menuju Ke Destinasi

Pasar ini terletak di bandar Kuala Terengganu iaitu betul-betul mengadap Laut China Selatan. Lokasinya juga agak strategik dan mudah diakses kerana berhampiran dengan jeti Shabandar yang merupakan tempat pelancong menaiki bot untuk ke pulau-pulau berhampiran. Ia juga berdekatan dengan Bazar Warisan, premis perniagaan, dan Kompleks Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

  • Alamat : Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Tanjung Kapur, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu
  • Google Maps : KLIK

Waktu Operasi 

  • 7 am – 6 pm (Setiap Hari)

Peta Ke Pasar Payang

pasar payang

Tarikan di Pasar Payang

Pada asalnya pasar ini hanya dikunjungi masyarakat setempat sahaja sebagai tempat beli-belah barangan keperluan harian. Namun, setelah pasar ini tersenarai sebagai salah satu tempat menarik di Terengganu, ia sering menjadi lokasi tumpuan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.

Bangunan pasar ini adalah dua tingkat yang terbahagi kepada dua bahagian utama. Di bahagian bawah menjual barangan dapur seperti ikan, buah-buahan, sayur-sayuran dan juga kuih-muih tradisional tempatan. Manakala di tingkat atas pula adalah bahagian tumpuan pelancong yang mana tempat menjual pakaian dan perhiasan. Antaranya seperti batik Terengganu, sutera, kain broket, songket tenunan Melayu, barangan kraftangan, dan banyak lagi.

pasar payang

Di bahagian depan kedai payang pula terdapat kedai yang menjual toto, bantal kekabu serta barangan memasak seperti kuali dan pinggan mangkuk. Apa yang menarik, harga yang ditawarkan di sini bukan sahaja lebih murah dari kedai biasa, tetapi pengunjung juga berpeluang untuk membuat tawar menawar untuk barangan yang hendak dibeli.

Selain itu, di sini juga terdapat ruang bakat yang mana pengunjung berpeluang untuk mencuba mencanting batik, membuat wau, menganyam tikar atau membuat ukiran. Boleh dikatakan pasar ini lengkap dengan pelbagai keperluan para pengunjung. Rancang perjalanan anda bagi menikmati percutian yang menggembirakan.

LOKASI PERCUTIAN SETERUSNYA : Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur

error: Content is protected !!