Tasik Kenyir adalah sebuah lokasi percutian rekreasi yang sangat popular di Terengganu dan juga Malaysia. Ia terletak di Hulu Terengganu dan merupakan tasik buatan yang terbesar di Asia Tenggara iaitu berkeluasan kira-kira 38,000 hektar. Lokasi Tasik Kenyir ini pada asalnya adalah kawasan hutan dan berbukit yang telah ditenggelami air seterusnya membentuk pulau-pulau buatan yang kecil dan cantik. Walaupun hanya sekadar tasik buatan, Tasik Kenyir telah berjaya menarik ramai pelancong dari dalam dan juga luar negara. Selain itu, ia juga berperanan sebagai empangan air bagi negeri Terengganu terutamanya di daerah Kuala Berang. Selain Tasik Kenyir, terdapat banyak tempat menarik di Terengganu yang boleh anda kunjungi.

Cara Menuju Ke Destinasi

Untuk perjalanan dari Kuala Lumpur, anda boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur dan Exit di Plaza Tol Ajil. Perjalanan akan mengambil masa kira-kira 5 hingga 6 jam bergantung pada cara pemanduan. Seterusnya ikot laluan dalam iaitu Jalan Ajil – Kuala Berang.

Bayaran Tol

  • Tol Gombak – Tol Bentong : RM9.50
  • Plaza Tol Karak – Plaza Tol Ajil : RM39.70
Tasik Kenyir

Keistimewaan Tasik Kenyir ini bukan semata-mata terletak pada kejernihan air tasiknya atau kehijauan alam semulajadi yang memukau, tetapi kerana ia juga menjadi pintu masuk ke taman Negara yang terkenal di serata dunia. Terdapat pelbagai kemudahan, infrastruktur, penginapan, tempat rekreasi dan riadah yang membuatkan kawasan rekreasi ini semakin menarik untuk dikunjungi.

Aktiviti & Tempat Menarik di Tasik Kenyir

Air Terjun

Terdapat banyak tempat dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan semasa bercuti di Tasik Kenyir ini. Antaranya mandi manda di kawasan air terjun yang memiliki air yang jernih dan sejuk. Sebanyak 14 buah air terjun yang terdapat di Tasik Kenyir tetapi cuma 5 air terjun saja yang popular dan sering dikunjungi oleh pelancong iaitu ;

  1. Jeram Lata Terap
  2. Air Terjun Sungai Buweh
  3. Air Terjun Saok
  4. Air Tejun Tembat
  5. Air Terjun Lasir

Dalam kesemua air terjun ini, Air Terjun Lasir adalah tempat yang paling cantik dan sesuai untuk mandi manda.

Tasik Kenyir
Sumber : pelancongan-terengganu

Memerhati Burung

Bagi pengkaji dan penggemar burung pula, di sini anda akan disajikan dengan ratusan jenis burung termasuklah spesis Enggang yang berterbangan di sekitar tasik. Disini turut menyediakan habitat yang bersesuaian untuk burung yang mana telah menempatkan kira-kira 290 species burung tempatan dan migrasi.

Tasik Kenyir

Aktiviti Air

Selain itu, aktiviti sukan air seperti kanu, berkayak, jet-ski, sampan dan berakit juga sangat menarik untuk dilakukan di tasik ini bersama kawan-kawan dan keluarga.

Tasik Kenyir
Sumber : pelancongan-terengganu

Memancing

Boleh dikatakan di sini adalah syurga bagi kaki pancing disebabkan terdapat banyak lubuk-lubuk ikan yang sangat mangujakan. Terdapat pelbagai jenis baka ikan yang boleh ditemui di sungai dan anak sungai di tasik ini. Antara lokasi terbaik untuk memancing dan disarankan oleh Jabatan Hidupan Liar adalah di Pulau Cacing, Terenggan, Saok, Leban, dan Petuang.

Sumber : terengganu.gov

Aktiviti Lasak

Jika anda seorang yang sukakan aktiviti lasak, anda boleh menyertai pengembara mendaki Gunung Gagau untuk menyaksikan pemandangan yang tenang dan indah. Selain itu, anda juga boleh melakukan aktiviti berkhemah dan tapak – tapak perkhemahan turut disediakan seperti di Pengkalan Gawi, Sungai Saok, Gua Bewah, Lawit, dan Tembat.

Taman Tema Air

Jika anda belum mencapai keseronokan yang maksima, anda boleh cuba bermain air di Tasik Kenyir Water Park. Lokasi Tasik Kenyir Water Park ini berada Pulau Poh dan perlu menaiki bot dari Pengkalan Gawi untuk menuju ke sana. Kos pengakutan bot pula sudah termasuk didalam harga tiket Water Park.

Bayaran Tiket

  • Dewasa – RM25
  • Kanak-Kanak – RM15
  • Warga Emas – RM15
Sumber : lelakisihat

Santuari Kelah

Tidak lengkap rasanya jika bercuti di Tasik Kenyir tanpa bermain dan bermanja dengan ikan Kelah di Santuari Kelah di Sungai Petang. Kira-kira 5000 ekor ikan Kelah yang jinak sedia menanti untuk mengerumuni anda. Pengalaman ini sudah pasti tidak mampu untuk anda lupakan.

Aktiviti lain yang anda boleh lakukan adalah berkunjung ke perkampungan Orang Asli. Tasik Kenyir turut mempunyai sebuah perkampungan orang asli kaum Senoi dari rumpun bangsa Semoq Beri.

Penginapan Di Tasik Kenyir

Bagi tempat penginapan pula, terdapat banyak resort, chalet, hotel dan homestay yang berhampiran dengan tasik ini. Jadi, tiada masalah mengenai tempat penginapan untuk difikir atau dirisaukan. Untuk lagi menikmati suasana alam semulajadi di Tasik Kenyir ini, anda boleh lah menginap di Houseboat yang disediakan di sana. Untuk menempah dan menyemak harga, sila layari website.

Sumber : ohcuti

0 Comments

Leave a Reply

Avatar placeholder

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!