
Boleh dikatakan kecantikan dan keindahan Pulau Rawa yang terletak di perairan Mersing ini setanding dengan pulau-pulau di luar negara seperti Maldives, Boracay dan lain-lain. Pulau Rawa juga merupakan sebuah pulau terpencil di mana kurang diketahui oleh para pelancong dari dalam mahupun luar negara. Disebabkan itu, kecantikan pulau ini masih terjaga dan terkenal dengan pasir pantai yang putih serta memiliki air laut yang membiru kejernihan. Pulau ini sangat sesuai dijadikan lokasi percutian singkat untuk anda yang mencari ketenangan atau boleh juga menjadi destinasi untuk berbulan madu.
ISI KANDUNGAN (Klik Untuk Terus Baca)
Cara Menuju Ke Pulau Rawa
Untuk ke pulau ini, anda perlu menaiki bot di Jeti Mersing. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeti Mersing akan mengambil masa selama 4 hingga 5 jam bergantung kepada cara pemanduan. Dengan melalui lebuhraya PLUS, anda perlu EXIT di tol Ayer Hitam yang berharga RM31.60 (dari tol Sungai Besi) dan seterusnya menggunakan jalan laluan Kluang – Mersing. Setibanya di jeti, anda boleh parkir kenderaan di kawasan berpagar dengan bayaran RM15 sahaja untuk satu malam.
Harga tambang bot untuk menuju ke Pulau Rawa pula sudah termasuk bersama pakej penginapan.
Bayaran Tiket Bot
- RM100++ (Seorang)

Bagi yang hendak bercuti dengan santai dan tidak ingin memandu ke Mersing, anda boleh menggunakan perkhidmatan bas express dari TBS (Terminal Bersepadu Selatan). Harga tiket cuma RM32 sahaja untuk sehala (tertakluk harga semasa). Penggunaan pengangkutan awam ini juga sangat disarankan kerana lebih jimat, tidak perlu membayar tol, tiket parking kenderaan, duit minyak dan yang paling penting tidak penat memandu.

Perjalanan dari Jeti Mersing ke Pulau Rawa pula akan mengambil masa kira-kira 30 – 45 minit dengan menaiki bot laju. Tempoh perjalanan ini juga bergantung kepada cuaca dan keadaan air laut.
Resort di Pulau Rawa
Anda hanya mempunyai 2 pilih resort untuk dijadikan tempat penginapan. Ia adalah ;
- Rawa Island Resort – Sebuah resort yang agak mewah dan mempunyai kawasan yang besar dan luas. Harga sedikit mahal tetapi berbaloi untuk penginapan yang begitu selesa. Resort ini juga sangat sesuai untuk mereka yang bercuti bersama keluarga dan anak-anak. Ini kerana terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk keselesaan para pengunjung termasuklah bilik yang berhawa dingin. Anda akan diturunkan di jeti dan di bawa ke resort dengan menaiki kerata bugi.
- Alangs Rawa – Memiliki tempat yang cantik dan bersih dan paling menarik adalah resortnya yang terletak berhampiran pantai. Penginapan disini tidak mempunyai kemudahan penghawa dingin tetapi masih dapat bersantai dengan tenang dan selesa sambil dibuai angin pantai yang bertiup lembut. Resort ini juga agak murah dan berbaloi untuk pengunjung yang ingin bersantai terutamanya golongan backpackers yang inginkan natural nature dan menikmati suasana pantai. Setibanya di Pulau Rawa, anda akan diturunkan di tepi pantai kerana jeti di Pulau Rawa ini adalah milik Rawa Island Resort.
Jenis Penginapan Di Rawa Island Resort

Hillside Deluxe – Anda boleh menikmati persekitaran hijau yang subur dari dalam bilik-bilik yang luas ini. Bersantai dengan damai dan tenang, dan ambil pemandangan semula jadi.

Beachfront Chalet – Terletak di sepanjang pantai utama, chalets ini menghidangkan pemandangan pasir dan laut yang indah kepada para pengunjung.

Waterfront Bungalow – Terletak betul-betul di persisiran pantai, chalet-chalet ini menawarkan pemandangan Laut China Selatan yang tidak terganggu. Setiap unit mempunyai balkoni besar dengan kerusi berjemur peribadi dan bilik mandi yang luas dan selesa.

Frangipani Villa – Sebuah penginpan yang mempunyai pantai yang berasingan dan terletak agak jauh dari kawasan restoran utama, villa-villa ini memberikan tetamu lebih banyak privasi. Berlatar belakang hutan yang hijau serta dikelilingi oleh tumbuhan bunga yang berwarna-warni. Setiap villa memiliki pemandangan laut yang indah.
Jenis Penginapan Di Alang’s Rawa

Beach House – merupakan tambahan terbaru di resort ini. Ia mempunyai 4 bilik yang besar dan paling luas, dengan katil double dan single disediakan. Balkoni besar merangkumi pintu masuk, yang menawarkan pemandangan hebat di pantai dan di laut.

Jungle Side – Terletak di lereng bukit di belakang pantai merupakan salah satu bangunan tertua disini. Bangunan kayu yang menarik ini terletak di antara dedaunan hutan yang rimbun di lereng bukit, dan memiliki 3 buah bilik di mana satu bilik di tingkat bawah dan dua tingkat atas. Bilik-bilik ini semuanya mengandungi katil double, dan katil tambahan disediakan atas permintaan. Sila ambil perhatian bahawa semua bilik ini mempunyai akses tangga. Bilik-bilik ini adalah antara yang paling tenang di resort, dan paling jauh dari bar dan restoran.

Coconut Tree – Sebuah bangunan A-Frame yang besar yang terletak di sepanjang pantai. Setiap rumah mempunyai dua bilik bersebelahan. Dua bilik berasingan ini berkongsi beranda besar. Kedua-dua bilik ini mempunyai satu katil double dan satu katil single, dan katil tambahan disediakan. Bilik-bilik ini sesuai untuk dua kumpulan yang bercuti bersama-sama, atau untuk keluarga dengan jumlah yang ramai.

Little A-Frame – Chalet yang paling dicari, terletak betul-betul di tepi pantai. Deruan ombak boleh didengari sehingga ke dalam bilik. Setiap bilik mempunyai balkoni peribadi dan buaian tempat tidur sendiri, bilik-bilik romantik ini mempunyai katil double dan sesuai untuk pasangan yang ingin berbulan madu.
Beachfront – Chalet paling dekat dengan jeti, mempunyai dua bilik bersebelahan yang berkongsi beranda besar dan mempunyai akses langsung ke pantai. Kedua-dua bilik ini mempunyai satu katil double dan satu katil single, dan katil tambahan disediakan. Bilik-bilik ini sesuai untuk dua kumpulan yang bercuti bersama-sama, atau untuk keluarga dengan jumlah yang ramai.
Coconut Tree Group Room – Bilik loteng yang besar terletak di tingkat dua. Bilik Kumpulan yang luas ini mengandungi bilik tidur double peribadi, bilik tidur mezanin yang menawan yang dicapai oleh tangga, bilik kumpulan utama, dua bilik mandi yang bersambung dan balkoni yang cantik dengan pemandangan laut yang indah dan kawasan tempat duduk yang selesa. Bilik ini dapat menampung minimum 6 dan maksimum 12 orang, dan sesuai untuk percutian bersama kawan-kawan.
Aktiviti & Tempat Menarik di Pulau Rawa
Suasana dan permandangan di Pulau Rawa ini amat mengujakan. Dengan kehalusan pasir pantai yang berwarna putih serta air laut yang kebiruan sudah pasti dapat memberikan kepuasan kepada anda. Antara aktiviti yang menarik yang anda boleh lakukan di Pulau Rawa ini adalah snorkeling. Anda tidak perlu ke tengah laut untuk melihat ikan-ikan dan terumbu karang, hanya snorkeling di tepi pantai sahaja sudah dapat menikmati panorama yang sangat menakjubkan. Tambahan pula, aktiviti island hoping tidak ditawarkan di Pulau Rawa ini.


Selain itu, untuk meneroka keindahan pulau ini, anda boleh berjalan-jalan di pesisir pantai sambil menghirup udara segar hingga ke hujung pulau. Perjalanan anda akan ditemani dengan kehadiran burung merak yang dikatakan terdapat hampir setiap tempat di pulau ini.



Anda juga boleh mendaki ke puncak Pulau Rawa untuk melihat permandangan seluruh pulau. Pendakian hanya mengambil masa selama 10 minit untuk sampai ke puncak. Laluan bertangga disediakan bagi memudahkan aktiviti pendakian. Sejurus sampai di puncak Pulau Rawa, mata anda pasti terpukau dengan panorama matahari terbit yang cukup cantik dan mempesonakan. Ia semestinya akan menjadi satu memori yang indah untuk dikenang pada masa akan datang. Dari puncak pulau ini juga, anda berpeluang menghirup udara yang sangat segar disamping menikmati permandangan Pulau Tioman dan Laut China Selatan yang terbentang luas.

Perlu diingatkan, pastikan anda membawa bekalan air minuman yang mencukupi untuk ke Pulau Rawa. Ini kerana, keperluan air bersih tidak disediakan disini melainkan air di restoran resort. Bekalan air untuk bilik mandi juga sedikit rasa payau sebab di proses daripada air laut.
Disini juga turut menawarkan aktiviti kayak dan menyelam (diving). Segala peralatan dan perkhidmatan aktiviti ini adalah percuma tetapi perlu membayar deposit RM100 seorang. Deposit ini akan dikembalikan semasa check out bilik. Selain itu, aktiviti yang paling menjadi tumpuan para pelancong adalah bermain Water Slide di jeti. Malangnya, water slide ini hanya khas untuk guest Rawa Island Resort sahaja. Tetapi anda boleh mencuba nasib jika tiada orang yang bermain di situ.



Pendek kata Pulau Rawa merupakan destinasi yang sangat menyeronokan dan sesuai untuk percutian bersama keluarga dan rakan-rakan. Walaupun dipenuhi dengan pelancong asing, suasana disini tetap aman dan damai. Mungkin kos percutian di Pulau Rawa agak tinggi berbanding pulau-pulau yang lain, tetapi ia sangat berbaloi untuk sebuah percutian yang menyeronokan. Dengan memiliki pakej pasir yang putih, laut jernih kebiruan, makanan sedap, permandangan indah, Pulau Rawa menjadi salah satu lokasi percutian yang wajib anda kunjungi di Johor.

Lokasi Percutian Seterusnya : Tempat Menarik di Pulau Sibu, Johor
0 Comments