Negeri Pahang sudah tidak asing lagi mempunyai tempat-tempat percutian tanah tinggi yang popular di Malaysia. Selain menjadi negeri yang terbesar di semenanjung Malaysia, Pahang juga sememangnya terkenal dengan lokasi percutian yang menarik dan popular dalam kalangan pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara. Salah satu destinasi yang sering dikunjungi para pelancong adalah tempat menarik di Bukit Tinggi yang terletak di daerah Bentong. Bukit Tinggi merupakan lokasi percutian yang mesra keluarga dan menjadi destinasi bulan madu yang terkenal di Pahang. Faktor tarikan utama Bukit Tinggi adalah keadaan cuacanya yang beriklim sederhana dan mempunyai suhu dingin yang nyaman dan segar. Ini kerana ia berkedudukan kira-kira 800 meter di atas paras laut. Ia juga telah tersenarai sebagai salah satu tempat menarik di Pahang yang mesti anda kunjungi.

Cara Menuju Ke Tempat Menarik Bukit Tinggi

Bukit Tinggi terletak di kawasan hutan tropikal seluas 16,000 ekar di dalam daerah Bentong, Pahang. Jika anda bertolak dari Bandaraya Kuala Lumpur, laluan paling mudah untuk anda sampai ke destinasi adalah dengan menggunakan Lebuhraya MRR2 dan Lebuhraya Karak menghala ke pantai timur. Kadar bayaran tol adalah RM6.00 di Plaza Tol Gombak. Bukit Tinggi ini terletak berdekatan dengan R&R Genting Sempah dan akan mengambil masa selama 50 minit perjalanan untuk sampai ke destinasi bergantung pada keadaan trafik semasa. Pengunjung juga boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti keretapi, bas dan teksi untuk ke sini.

  • Alamat : Bukit Tinggi, Bentong Pahang Darul Makmur
  • Google Maps : KLIK

Peta Kew Bukit Tinggi

tempat menarik bukit tinggi

Harga Tiket Bukit Tinggi

Kawasan peranginan Bukit Tinggi ini terbuka kepada umum sama ada ingin bermalam di hotel atau sekadar melawat tempat-tempat menarik di sini. Berikut adalah harga tiket masuk bagi pengunjung yang tidak bermalam di hotel ;

Harga Tiket 

  • Dewasa – RM13
  • Kanak-Kanak – RM8

Tempat Menarik di Bukit Tinggi

Bagi memudahkan anda untuk merancang percutian ke Bukit Tinggi Pahang, terdapat beberapa perkongsian tentang tempat-tempat menarik yang sering dikunjungi oleh para pelancong. Antara tempat yang mesti anda kunjungi adalah seperti berikut ;

1. Botanical Garden

tempat menarik bukit tinggi
Kredit Foto : berjayahills.org

Botanical Garden ialah taman alam semula jadi yang terletak di dalam Japanese Village kira-kira lima minit perjalanan dari Colmar Tropicale dengan menaiki kereta. Taman ini berukuran empat ekar hutan hujan tanah tinggi. Restoran Jepun Ryo Zan Tei terletak betul-betul selepas pintu masuk. Laluan untuk ke Garden View juga agak mencabar dan ianya kurang sesuai bagi golongan warga emas. Ini kerana denai simen laluan pejalan kaki yang disediakan ini agak berliku dan curam. Tarikan disini adalah tanaman herba, paku-pakis, taman bunga, permandangan hutan, jambatan kayu dan tapak semaian orkid. Pengunjung boleh menggunakan trek yang disediakan sepanjang 1 kilometer untuk meneroka kawasan ini sambil menikmati keindahan semulajadi dan dapat melihat kepelbagaian flora dan fauna.


2. Japanese Village & Tea House

tempat menarik bukit tinggi
Kredit Foto : berjayahills.org

Japanese Village merupakan sebuah tempat yang mempunyai tarikan bertemakan Jepun. Kampung ini mempunyai beberapa tempat menarik seperti Japanese Tea House, Botanical Garden, Tatami Spa, Ume Tatami Suite dan Ryo Zan Tei Restaurant. Di sini para pengunjung dapat mengenali adat dan budaya masyarakat Jepun dengan lebih mendalam. Pengunjung juga berpeluang untuk mencuba pakaian tradisional Jepun iaitu kimono. Selain itu, pengunjung juga boleh meneroka kolam batu, kolam ikan koi, taman bunga dan rumah teh Jepun. Dikelilingi oleh hutan hujan yang subur, Japanese Village juga merupakan tempat yang popular untuk memerhati burung, dengan pemandangan lembah dari titik strategik di sepanjang denai kerikil.

Waktu Operasi

  • 9.30 am – 5 pm (Setiap Hari)

Bayaran Tiket

  • Dewasa – RM12
  • Kanak-kanak – RM8
  • Sewa Kimono – RM20

3. Adventure Park

tempat menarik bukit tinggi
Kredit Foto : berjayahills.org

Adventure Park merupakan lokasi aktiviti lasak di Berjaya Hills yang terletak berdekatan kaunter tiket di pintu masuk. Pusat ini menyediakan pelbagai aktiviti mendebarkan yang sesuai untuk team building dan aktiviti rekreasi yang ekstrem. Tarikan utamanya ialah zipline flying fox sepanjang satu kilometer yang merentasi sepanjang hutan hujan tropika ini. Ia juga merupakan flying fox terpanjang di Asia Tenggara. Terdapat juga jambatan kanopi setinggi 15 meter dari tanah yang juga merentasi hutan rimba yang menghijau.

Untuk lebih banyak aktiviti yang mendebarkan, pengunjung boleh mencuba aktiviti rock climbing atau abseiling di permukaan batu buatan di sepanjang jalan utama. Selain itu, terdapat juga kawasan paintball tersembunyi di kawasan luar bandar yang sangat menarik dan mampu memberikan keseronokan kepada setiap peserta.

Bayaran Tiket 

  • Flying Fox – RM85/ Seorang
  • Canopy Walk – RM35/ Seorang
  • Rock Climbing – RM40/ Seorang
  • Paintball – RM96/ Seorang

4. Colmar Tropicale Berjaya Hills

tempat menarik bukit tinggi
Kredit Foto : berjayahills.org

Tidak lengkap rasanya jika bercuti di Bukit Tinggi tanpa berkunjung ke Colmar Tropicale kerana lokasi ini sangat popular untuk sesi fotografi dan menjadi salah satu tempat ikonik di Bukit Tinggi. Colmar Tropicale merupakan perkampungan yang bertemakan ala Perancis yang diilhamkan dari Colmar Village Alsace, sebuah perkampungan perancis yang terkenal dengan jalan batu buntar dan bangunan peninggalan zaman Renaissance. Reka bentuk dan seni bina bangunan-bangunan di sini membuatkan para pengunjung seolah-olah berada di negara Perancis yang sebenar. Selain itu, anda juga boleh menjamu selera di kafe-kafe yang terdapat di sini antaranya seperti La Cigogne, Le Blason, La Flamme, Le Paulet, La Boulangerie, dan L’Orient. Setiap cafe disini mempunyai menu masakan tersendiri yang berkonsepkan barat dan asia. Pengunjung boleh memilih samada untuk melawat sahaja atau bermalam di sini kerana terdapat resort di dalamnya. Ia menjadi salah satu tempat menarik di Bukit Tinggi yang mesti anda kunjungi.

Bayaran Tiket 

  • Dewasa – RM16
  • Kanak-kanak – RM8
  • Harga Hotel Colmar Tropicale – Bermula dari RM250/ Semalam

5. Rabbit Park

tempat menarik bukit tinggi

Rabbit Park adalah taman arnab yang menempatkan kira-kira 200 ekor arnab yang comel dan jinak. Lokasi ini semestinya paling digemari oleh golongan kanak-kanak yang ingin bermesra dengan haiwan peliharaan ini.  Selain itu, pengunjung juga dibenarkan untuk membelai dan bergambar dengan haiwan comel ini. Terdapat juga aktiviti-aktiviti sampingan khas untuk kanak-kanak antaranya seperti kelas mengecat dan melukis. Kemudahan awam turut disediakan di sini termasuklah taman permainan kecil, tandas, dan makanan ringan & minuman untuk pelawat.

Bayaran Tiket 

  • RM4/ Seorang

6. Horse Trails

Kredit Foto : berjayahills.org

Horse Trails merupakan lokasi yang menempatkan kuda-kuda yang terlatih dan jinak untuk ditunggangi oleh para pengunjung. Antara kuda yang terdapat di sini ialah dari baka Palamino, Quarter Horse, dan banyak lagi. Pengunjung boleh memilih beberapa aktiviti yang disediakan di sini seperti Creek and River Ride, Jungle Ride, Picnic Ride, dan Golf View Ride . Terdapat beberapa pakej menarik dengan harga berbeza yang boleh anda cuba. Sambil menunggang kuda, pengunjung boleh menikmati udara segar dan permandangan yang indah di Bukit Tinggi.

Bayaran Tiket

  • Tiket Masuk – RM2
  • Tunggang Kuda 10 Minit – RM25
  • Tunggang Kuda 2 Jam – RM180
  • Tunggang Kuda 3 Jam – RM250

7. The Chateau Spa & Organic Wellness Resort

The Chateau Spa & Organic Wellness Resort menawarkan sebuah penginapan dengan gaya dan suasana abad ke 12 zaman medieval bercitarasa moden dan perkhidmatan spa yang bertaraf dunia. Reka bentuk resort ini sungguh menarik dan elegan membuatkan anda terasa seperti berada di negara Eropah. The Chateau Spa & Organic Wellness Resort ini terletak di dalam kawasan padang golf yang dikelilingi oleh kesegaran pokok-pokok menghijau. Penginapan di sini semestinya sangat berbaloi kerana layanan yang diberikan serta kemudahan mewah yang terdapat di hotel ini pasti membuatkan para pengunjung seronok dan teruja . The Chateau Spa & Organic Wellness Resort merupakan satu-satunya hotel yang telah mendapat anugerah 7 bintang. Boleh klik di sini untuk menempah bilik.

Bayaran Tiket 

  • Bermula Dari RM600/Semalam

8. La Lavande Massage & Spa

Di sini juga mempunyai pusat kecantikan atau spa untuk para pengunjung memanjakan diri sepanjang bercuti di Bukit Tinggi. Spa yang terletak di tengah-tengah Colmar Square ini menawarkan pelbagai rawatan kecantikan seperti urut kaki refleksologi hingga ke therapeutic massage. Apa yang menarik spa ini sangat mesra kanak-kanak. Sambil anda memanjakan diri dengan tradisional thai massage, anak anda boleh berhibur dengan aktiviti menarik seperti face painting. Secara tidak langsung, anda dapat berehat dan rilex seketika sambil menikmati urutan dari pekerja spa yang berpengalaman.


9. Berjaya Hills Golf & Country Club

Kredit Foto : berjayahills.org

Berjaya Hills Golf and Country Club adalah padang golf championship 18 lubang yang terletak di lembah tanah tinggi Bukit Tinggi. Lokasinya terletak tidak jauh dari Colmar Tropicale Resort. Direka oleh J Micheal Poellot, lapangan golf ini agak berliku dan dikelilingi hutan hujan tropika yang subur dengan latar belakang bukit menghijau. Ia juga  pernah tersenarai didalam 20 kelab golf paling terkemuka di Malaysia pada tahun 2004. Kelab golf itu juga mempunyai hotelnya sendiri, di mana ia menawarkan 22 suite penginapan di rumah kelab dan 12 chalet bersebelahan. Kemudahan di rumah kelab termasuk kolam renang dengan bahagian mendayung untuk kanak-kanak, restoran yang menyajikan masakan tempatan dan antarabangsa, kedai golf, dewan majlis dan balkoni untuk jamuan kecil.


10. Song Yan Organic Farm

Salah satu tarikan lain yang terdapat di kawasan Bukit Tinggi ialah Song Yan Organic Farm. Ia merupakan sebuah destinasi eko-pelancongan yang berkonsepkan ladang sayur-sayuran segar yang ditanam secara organik di sini. Namun begitu tanaman di sini tidak dijual kepada para pengunjung. Tetapi anda masih berpeluang untuk merasai  hidangan yang lazat menggunakan sayur–sayuran segar ini di Song Yan Organic Farm. Selain itu, anda juga dapat melihat sendiri dan mempelajari proses menanam sayuran secara organik.


11. Tatami Spa

Tatami Spa ialah spa berkonsepkan Jepun yang terletak di dalam Japanese Village Bukit Tinggi. Lokasinya sangat nyaman dikelilingi oleh kehijauan daun yang subur dalam suasana alam semula jadi yang tenang. Spa ini menawarkan pelbagai rawatan kesihatan holistik, termasuk aromatheraphy, urutan, lulur badan dan refleksologi serta ritual mandi Jepun untuk memberi ketenangan, terapi, dan keremajaan. Anda juga boleh merehatkan diri di dalam tab air panas Onsen yang disediakan. Pusat spa ini terletak di dalam banglo dua tingkat, juga reka bentuk tradisional Jepun seperti Ume Tatami Suite, dan dilengkapi dengan kemudahan moden. Selain itu, spa ini pernah dianugerahkan spa terbaik tahun 2007-2008 oleh Hospitality Asia Platinum Awards.


Semestinya Bukit Tinggi Pahang merupakan lokasi percutian yang sangat menarik untuk dikunjungi seisi keluarga dan bersama orang tersayang. Rancang perjalanan anda bagi menikmati percutian yang menggembirakan.

LOKASI PERCUTIAN SETERUSNYA : Lata Payung Setiu, Terengganu

error: Content is protected !!