
Untuk melihat dan mengetahui sedikit sebanyak info mengenai sang bedal, anda boleh berkunjung ke Taman Buaya Teluk Sengat yang merupakan sebuah taman buaya terbesar di Semenanjung Malaysia. Dianggarkan terdapat kira-kira 1,000 ekor buaya yang terdiri daripada pelbagai species termasuklah buaya tua yang berusia 130 tahun. Taman Buaya Teluk Sengat juga merupakan salah satu tempat menarik di Johor yang mesti and a kunjungi terutamanya ketika berada di kawasan Kota Tinggi.
Seperti yang anda ketahui, buaya adalah salah satu haiwan pemangsa yang ganas dan menakutkan. Difahamkan haiwan daripada species reptilia ini mula-mula muncul sekitar 83.5 juta tahun yang dahulu. Ia juga merupakan species reptilia amfibia yang membahagikan masa antara air dan daratan. Rata-ratanya haiwan pemangsa ini memakan haiwan-haiwan lain seperti ikan, ketam, udang, siput, burung dan juga mamalia. Buaya umumnya terdapat di kawasan tanah panah tropika dan salah satunya adalah di Malaysia.

ISI KANDUNGAN (Klik Untuk Terus Baca)
Cara Menuju Ke Destinasi
Ladang Buaya Teluk Sengat terletak kira-kira satu jam perjalanan memandu dari Johor Bahru dan 20 minit dari bandar Kota Tinggi. Jika perjalanan dari Kuala Lumpur, anda perlu menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan susur keluar di Kulai. Kadar bayaran tol adalah RM38.80 sehala dari Plaza Tol Sungai Besi ke Plaza Tol Kulai. Seterusnya gunakan Jalan Kulai-Kota Tinggi dan Jalan Kota Tinggi-Pengerang untuk sampai ke destinasi. Kira-kira mengambil masa 4-5 jam perjalanan bergantung pada trafik semasa.
- Alamat : Lots 1289 & 1290, Jalan Sembilan, Kampung Belading, Teluk Sengat, 81940 Kota Tinggi, Johor, Malaysia
- Google Maps : KLIK
- Hubungi : 07-8955220
Waktu Operasi
9 am – 6 pm (Setiap Hari)
Peta Ke Taman Buaya Teluk Sengat
Harga Tiket Taman Buaya Teluk Sengat
Apa yang menarik, harga tiket kemasukan ke taman buaya ini sangat berpatutan dan mampu milik bagi semua golongan. Dengan harga tiket yang berpatutan dan bakal dipertontonkan lebih kurang 1,000 ekor buaya, ia merupakan lokasi percutian yang menarik dan sangat berbaloi untuk dikunjungi.
Bayaran Tiket
- Dewasa – RM8
- Kanak-kanak – RM4
- Bergambar Dengan Anak Buaya – RM5

Tarikan di Taman Buaya Teluk Sengat
Kebanyakan buaya di sini adalah dari spesis buaya air tawar (Crocodylus Porosus). Untuk melihat sendiri haiwan pemangsa ini dengan lebih dekat, anda akan ditemani oleh penjaga buaya untuk menjelajah ke semua habitat sang bedal bermula dari saiz kecil hinggalah yang paling besar. Sambil berjalan, petugas disini akan menerangkan serba sedikit infomasi mengenai kehidupan buaya.

Selain itu, anda berpeluang melihat buaya tua tiada gigi yang berumur 130 tahun. Rutin harian buaya tua ini hanyalah menghabiskan masa lapang berjemur di bawah terik matahari berbanding beraksi di depan pengunjung. Mungkin disebabkan oleh faktor umur buaya tersebut.
Setibanya waktu buaya makan, anda dapat menyaksikan reaksi dan ragam buaya-buaya ini patuh pada arahan penjaganya. Buaya di sini akan diberi makan mengikut waktu yang ditentukan dan menu utama sang bedal adalah ayam.

Apa yang menarik tentang haiwan pemangsa dan berdarah sejuk ini adalah ia mampu hidup di dalam air dan juga daratan. Semasa di dalam air, suhu badan buaya akan menurun disebabkan air yang dingin. Untuk meningkatkan kembali suhu badan, ia akan naik berjemur di daratan. Manakala jika suhu badannya terlalu panas pula, ia akan mula membuka mulut bagi menurunkan kembali suhu badannya.

Proses penetasan telur buaya juga sangat unik. Ini kerana suhu persekitaran menjadi faktor utama penentuan jantina anak buaya semasa proses penetasan. Difahamkan suhu sekitar 28 – 30 Celcius akan menghasilkan anak buaya betina manakala pada suhu 30 – 32 Celcius pula akan menghasilkan anak buaya jantan.

Sesi bergambar dengan anak buaya juga turut disediakan bagi memberi peluang kepada para pengunjung untuk menyentuh dan melihat buaya dengan lebih dekat. Ia pasti memberikan pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Taman Buaya Teluk Sengat merupakan sebuah lokasi percutian yang sesuai untuk seisi keluarga. Rancang perjalanan anda bagi menikmati percutian yang menggembirakan.
LOKASI PERCUTIAN SETERUSNYA : Taman Herba Nasuha (Nasuha Herbs & Spice Farm, Johor