
Ladang bunga matahari sememangnya sangat popular dan terkenal di negara gajah putih iaitu di Thailand. Untuk melihat pemandangan ladang bunga matahari yang indah seperti di negara jiran, kini anda boleh menikmati pengalaman sama hanya di Sunflower Garden Bagan Datuk, Perak. Mungkin masih ramai yang belum mengetahui tentang kewujudan taman bunga ini, namun ia semakin popular dan menjadi lokasi percutian tumpuan pada setiap hujung minggu dan cuti umum oleh pengunjung tempatan dan pengunjung luar negeri. Dianggarkan seramai 400 orang pengunjung datang ke ladang ini setiap hari untuk bergambar dengan pokok bunga matahari gergasi dan menikmati aktiviti-aktiviti menarik yang lain.
ISI KANDUNGAN (Klik Untuk Terus Baca)
Cara Menuju Ke Destinasi
Ladang seluas 0.8 hektar ini terletak di Bagan Sungai Burung, Bagan Datuk iaitu kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Teluk Intan. Sunflower Garden ini menjanjikan panorama indah yang dihiasi dengan lebih 2,000 bunga matahari atau dikenali juga dengan nama saintifiknya Helianthus Annuus. Selain itu, lokasi ini juga turut tersenarai sebagai salah satu tempat menarik di Perak yang mesti anda kunjungi.
- Alamat : Sunflower Garden, Bagan Sungai Burung, 36100 Bagan Datuk, Perak
- Google Maps : KLIK
- Hubungi : 016-232 0031
Waktu Operasi
- 9 am – 7 pm (Setiap Hari)
Peta Ke Sunflower Garden

Harga Tiket Sunflower Garden Bagan Datuk
Apa yang paling menarik adalah harga tiket kemasukan sangat berpatutan untuk semua golongan. Pihak Sunflower Garden ingin menjadikan taman ini sebagai sebuah lokasi pelancongan baharu yang sangat menyeronokkan dengan bayaran tiket masuk yang rendah dan berpatutan.
Bayaran Tiket
- Dewasa – RM13
- Kanak-kanak (7-11 Tahun) – RM10
- Kanak-kanak (3-6 Tahun) – RM5

Aktiviti Menarik di Sunflower Garden Bagan Datuk
Pokok bunga matahari sangat unik dan mempunyai tarikan tersendiri. Untuk pengetahuan anda, bunga matahari bukan sahaja menjadi pokok hiasan tetapi biji benihnya juga boleh di makan dan dijadikan minyak masak.

Disebabkan pokok bunga matahari hanya hidup dalam tempoh yang singkat, pihak pengurusan terpaksa menanamnya di tiga lot berasingan bagi memastikan ladang ini tidak kehabisan bunga matahari dan mengecewakan pengunjung yang datang dari seluruh negeri.


Dengan berlatar belakangkan bunga matahari yang kekuningan, Sunflower Garden Bagan Datuk ini sering menjadi lokasi pilihan pasangan pengantin daripada pelbagai kaum untuk sesi bergambar sebagai kenangan. Selain itu, taman ini turut menjadi rumah kepada haiwan ternakan seperti itik dan ikan. Pengunjung juga dibenarkan dan berpeluang untuk memberi haiwan-haiwan jinak ini makan.

Untuk memberikan keseronokan yang maksima kepada setiap pengunjung, pemiliknya telah menyediakan beberapa tempat fotografi yang unik, menarik, dan ikonik. Antaranya seperti arka besar berbentuk hati, kerusi buaian dan tangga langit. Dengan adanya port-port ini, semestinya para pengunjung dapat memotretkan gambar-gambar yang cantik sebagai kenangan terindah bersama keluarga dan orang tersayang.



Sunflower Garden Bagan Datuk menjadi lokasi percutian yang berbaloi dan menarik untuk dikunjungi. Rancang perjalanan anda bagi menikmati percutian yang menggembirakan.
LOKASI PERCUTIAN SETERUSNYA : 99 Wonderland Park, Kuala Lumpur