
Pulau Pangkor merupakan sebuah pusat peranginan yang terletak di perairan Selat Melaka iaitu di dalam daerah Manjung, Perak. Pulau ini telah menjadi lokasi percutian tumpuan kepada para pelancong terutamanya pelancong dari pantai barat Semenanjung Malaysia kerana destinasinya tidak terlalu jauh dengan pusat bandar. Pulau tropika yang memiliki keluasan sekitar 2,200 hektar ini juga merupakan pulau ke-3 terbesar di negeri Perak dan telah dihuni oleh 9,000 orang penduduk tetap yang kebanyakannya terdiri dari golongan nelayan.
Permukaan geografi yang berbukit-bukau dan terlindung dari tiupan angin monsun menjadikan Pulau Pangkor sebagai sebuah lokasi percutian yang strategik dan sesuai untuk sepanjang tahun. Selain mempunyai keindahan alam flora dan fauna yang semulajadi, Pulau Pangkor juga sangat terkenal dengan kecantikan pantai yang dipenuhi coral dan hidupan air yang berwarna-warni.
Cara Menuju Ke Destinasi
Untuk ke Pulau Pangkor, anda boleh membawa kereta sendiri atau menggunakan pengangkutan awam seperti bas express. Bagi yang ingin memandu kenderaan sendiri dari Kuala Lumpur boleh menggunakan Lebuhraya PLUS menghala ke utara dan susur keluar di Plaza Tol Gopeng seterusnya ke arah Lumut/ Setiawan.
Bayaran Tol
- Plaza Tol Jalan Duta – Plaza Tol Gopeng : RM23.50
Bagi yang ingin menggunakan pengangkutan awam pula, anda boleh menaiki bas di Terminal Bas Bersepadu (TBS) dan turun di Stesen Bas Lumut, Jalan Iskandar Shah.
Bayaran Tiket Bas
- TBS – Stesen Bas Lumut : RM27 Sehala

Terdapat dua jeti yang menyediakan perkhidmatan feri ke Pulau Pangkor iaitu Terminal Jeti Lumut dan Jeti Marina Island. Kedua-dua jeti ini terletak di daerah Lumut.
Terminal Jeti Lumut
- Waktu Operasi : 7 am – 8.30 pm (Lumut – Pangkor)
: 6.30 am – 8.30 pm (Pangkor – Lumut)
- Tempoh Perjalanan : 30 – 40 Minit
- Harga Tiket : RM 5 Sehala


Jeti Marina Island
- Waktu Operasi : 7.15 am – 10.45 pm (Marina – Pangkor)
: 6.45 am – 10.15 pm (Pangkor – Marina)
- Tempoh Perjalanan : 10 Minit
- Harga Tiket : RM 10 (Dewasa), RM5 (Kanak-kanak)


Kawasan parkir kenderaan juga disediakan dengan cas bayaran mengikut jam. Kawasan letak kenderaan ini memang mencukupi melainkan waktu cuti sekolah dan cuti umum.
Setibanya di Pulau Pangkor, anda dapat lihat deretan van merah jambu yang setia menunggu penumpang. Ia merupakan pengangkutan paling popular dan menjadi pilihan pengunjung terutamanya golongan berkeluarga untuk ke hotel @ tempat penginapan. Selain itu, terdapat juga perkhidmatan sewa kereta, motosikal dan basikal yang diusahakan oleh penduduk tempatan. Untuk mengelakkan daripada ditipu, anda boleh tawar-menawar harga sewa bagi mendapatkan harga yang berpatutan. Penggunaan motosikal sangatlah digalakkan bagi memudahkan anda bergerak dengan lancar untuk meneroka setiap tempat menarik di Pulau Pangkor.

Aktiviti & Tempat Menarik Di Pulau Pangkor
Terdapat banyak aktiviti yang boleh anda lakukan disamping melawat tempat-tempat menarik di Pulau Pangkor. Aktiviti paling menarik yang mesti anda cuba adalah meronda dan meneroka Pulau Pangkor di waktu malam dengan menaiki motosikal sambil menghirup udara segar dan menikmati angin malam yang sejuk. Jangan lepaskan peluang untuk menjamu selera makanan laut di restoran dan kedai makan berhampiran anda. Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti ;
- Mandi-manda di pantai yang jernih
- Memancing ikan
- Snorkelling
- Bersantai sambil menikmati matahari terbenam
- Berkayak
- Bermain sukan air seperti banana boat dan jetski
- Bermain bola tampar pantai
- Jungle trekking


Air laut yang jernih kebiruan serta pasir pantai yang bersih mampu memukau setiap mata yang memandang. Berikut adalah pantai-pantai menarik di pulau ini;
- Pantai Teluk Ketapang
- Pantai Pasir Bogak
- Pantai Puteri Dewi
- Pantai Teluk Nipah
- Teluk Cempedak
- Teluk Gedung
- Teluk Man
- Teluk Dalam
- Teluk Segadas
- Coral Bay


Disebabkan Pulau Pangkor pernah menjadi kubu dan penempatan oleh tentera Belanda pada suatu masa dahulu, terdapat beberapa tempat bersejarah yang boleh anda lawati.
- Batu Bersurat
- Kota Belanda
- Perkuburan Belanda

Salah satu tarikan menarik di sini adalah industri makanan laut kering seperti keropok, sate ikan, ikan bilis, sotong kering, udang kering, dan bermacam lagi. Bagi yang beragama Islam pula, pastikan anda membeli hasil laut ini di kedai yang halal. Anda boleh singgah ke Kilang Hasil Laut Pak Su yang mana satu-satunya kilang hasil laut yang diusahakan oleh Muslim di pulau ini.

Untuk melengkapkan percutian anda di Pulau Pangkor, anda boleh berkunjung ke beberapa lokasi lain yang turut tersenarai sebagai tempat menarik di Pulau Pangkor seperti ;
- Tortoise Hill
- Memberi Burung Enggang Makan di Sunset View Chalet
- Hoo Huat Boat Builder (Tukang Bot)
- Pekan Pangkor
- Galeri Panorama Pangkor
- Masjid Kampung Melayu Pangkor
- Lumut Waterfront
- Pulau Giam
- Masjid Terapung Pulau Pangkor
- Pulau Pangkor Laut
- Pulau Mentangor


Penginapan Di Pulau Pangkor
Dari segi tempat penginapan pula, terdapat pelbagai jenis hotel, resort, chalet, dan rumah tumpangan yang bersesuai mengikut bajet dan kemampuan para pelancong. Seeloknya buat tempahan bilik terlebih dahulu sebelum merancang percutian. Ini bagi mengelakkan kejadian bilik penuh dan sebagainya. Pelbagai kemudahan disediakan oleh pihak hotel dan resort termasuklah pakej-pakej aktiviti menarik sepanjang anda berada di Pulau Pangkor. Untuk menempah dan menyemak harga, anda boleh layari booking.com.
Penginapan di Pantai Pasir Bogak
- Pangkor Sandy Beach Resort
- Coral Bay Resort
- Golden Beach Resort
- Sea View Resort
- Puteri Bayu Resort
Penginapan di Pantai Teluk Nipah
- Flora Beach Resort
- Hornbill Resort
- Budget Beach Resort
- Nipah Bay Villa
- Pangkor Inn Chalet


LOKASI PERCUTIAN SETERUSNYA : Tempat Menarik di Pulau Tioman Pahang
0 Comments