
Pantai Klebang merupakan salah satu lokasi percutian pantai yang sangat popular di negeri Melaka. Rata-rata pelancong yang bercuti di bandaraya bersejarah ini pasti akan berkunjung ke Pantai Klebang bagi melakukan aktiviti-aktiviti outdoor dan juga bersantai bersama keluarga. Ia terletak kira-kira 15 minit dari bandar Melaka iaitu di penghujung semenanjung Klebang. Ia juga telah tersenarai sebagai salah satu tempat menarik di Melaka yang mesti anda kunjungi.
Pantai ini semakin mendapat perhatian ramai setelah tularnya gambar-gambar timbunan bukit pasir yang kelihatan seolah-olah berada di gurun Sahara. Bukit pasir ini terhasil daripada aktiviti penambakan tanah sejak sedekad yang lalu yang meninggalkan banyak timbunan pasir setinggi 10 meter hingga 20 meter.
ISI KANDUNGAN (Klik Untuk Terus Baca)
Cara Menuju Ke Destinasi
Pantai Klebang terletak di Klebang Besar iaitu di antara Bandar Hilir dan Sungai Udang di dalam daerah Melaka Tengah. Perjalanan dari bandaraya Kuala Lumpur akan mengambil masa kira-kira 2 jam bergantung kepada keadaan trafik semasa. Anda perlu menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan susur keluar di EXIT 227 Simpang Ampat. Kadar bayaran tol dari plaza tol Sungai Besi ke plaza tol Simpang Ampat adalah RM10.50 sehala.
- Alamat : Pantai Klebang, 75200, Melaka
- Google Maps : KLIK
Peta Ke Pantai Klebang

Aktiviti Menarik di Pantai Klebang
Pantai Klebang sering menjadi lokasi tumpuan bagi penduduk tempatan dan juga para pelancong untuk beriadah dan bersantai di waktu petang. Suasana di sini bertambah meriah ketika hujung minggu dan musim cuti sekolah kerana destinasinya yang mudah diakses serta dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan para pengunjung. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Pantai Klebang adalah seperti berikut;
Bermain Layang-Layang
Struktur permukaan Pantai Klebang ini agak berteluk dan mempunyai permukaan yang lapang dan landai. Ia sangat sesuai untuk aktiviti bermain layang-layang bersama anak-anak sambil dibuai tiupan angin bayu laut yang sangat mendamaikan.

Berkelah
Kawasan pesisir pantai yang luas pasti memudahkan para pegunjung untuk berkelah di samping dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak dan orang tersayang. Deretan pokok rhu di sepanjang pesisir pantai menjadi tempat berteduh semulajadi dan tapak pilihan untuk aktiviti perkelahan.
Bergambar di Bukit Pasir
Setelah gambar-gambar di bukit pasir Pantai klebang ini tular di media sosial, lokasi ini menjadi popular sebagai tempat untuk sesi fotografi. Permandangan di sini bertambah cantik dan menarik menjelang waktu senja kerana memiliki panorama matahari terbenam yang sangat menakjubkan.

Menaiki Kereta Kuda & Menunggang Kuda Padi
Perkhidmatan ini disediakan oleh masyarakat tempatan di sepanjang Pantai Klebang. Anda berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman menunggang kuda dengan harga yang berpatutan iaitu sekitar harga RM10.

Menunggang ATV
Bagi penggemar sukan lasak, aktiviti menunggang ATV merupakan salah satu aktiviti menarik yang mesti anda cuba. Sukan ATV ini sangat popular kerana motosikal empat roda ini agak lasak dan mampu memberi keseronokan dan kepuasan kepada setiap peserta.

Menjamu Selera
Di pesisir Pantai Klebang juga terdapat beberapa buah gerai makan yang menawarkan pelbagai makanan yang menarik. Antaranya seperti medan selera & Dataran 1 Malaysia, Restoran Cendol Bakar Klebang, Restoran Asam Pedas Claypot, Restoran Pak Putra Tandoori & Nan, Berkat Roti John, dan banyak lagi. Anda juga boleh berkunjung ke sebuah restoran minuman yang popular di Klebang iaitu Klebang Original Coconut Shake yang terletak hanya beberapa kilometer dari kawasan pantai.

Muzium Kapal Selam
Bagi yang tertanya-tanya bagaimanakah suasana dan perasaan berada didalam kapal selam yang sebenar, anda boleh merasainya sendiri di dalam Muzium Kapal Selam ini. Kapal selam yang digunakan ini adalah kapal selam yang sebenar dari tentera Perancis iaitu FS Quessant Agosta 70 yang mana telah tamat tempoh dan diserahkan kepada Kementerian Pertahanan Malaysia. Kemudian telah diserahkan pula kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk dijadikan muzium untuk pameran orang ramai. Muzium Kapal Selam ini dilengkapi dengan kemudahan pendingin hawa yang boleh memberikan keselesaan didalam kepadatan pengunjung.

Pantai ini tidak putus-putus menerima kunjungan pelancong tidak kira di waktu pagi, petang mahu pun di waktu malam. Selain itu, Pantai Klebang juga sangat sesuai dijadikan tempat untuk mencari ketenangan dan lari dari kesibukan kota. Rancang perjalanan anda bagi menikmati percutian yang menyeronokkan.
LOKASI PERCUTIAN SETERUSNYA : Pantai Desaru, Johor