
Pasti ramai yang belum mengetahui tentang kewujudan Air terjun Lata Payung yang mempunyai kawasan Blue Pool yang sangat cantik dan menakjubkan ini. Ia terletak di Hutan Lipur Lata Payung iaitu di dalam daerah Setiu sempadan Besut Terengganu. Difahamkan air terjun di Lata Payung ini adalah yang tercantik di negeri Terengganu dan juga merupakan salah satu tempat menarik di Terengganu yang mesti anda kunjungi. Namun disebabkan kurangnya promosi dan lokasinya yang agak tersorok dan terpencil, kawasan rekreasi ini kurang dikenali oleh para pengunjung terutamanya pelancong dari luar negeri.
Selain itu, keindahan alam flora di Lata Payung juga sangat bersih dan terjaga kerana ianya diselenggara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. Kawasan ini sangat sesuai untuk pencinta alam semulajadi kerana ia jauh dari kesibukan kota. Dengan berlatar belakangkan tumbuhan hijau yang segar, deruan air sungai yang mengalir serta siulan burung-burung pasti memberikan ketenangan kepada setiap pengunjung.

ISI KANDUNGAN (Klik Untuk Terus Baca)
Cara Menuju Ke Destinasi
Untuk sampai ke destinasi pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam seperti bas atau teksi dari Seri Langkap. Jarak antara Lata Payung ke Bandar Seri Langkap adalah 25 km manakala 65 km jika dari Bandaraya Kuala Terengganu. Kawasan ini mesra keluarga tetapi jika ingin ke kawasan Blue Pool ianya agak kurang sesuai untuk keluarga yang mempunyai warga emas kerana laluan agak sukar dan mencabar di beberapa tempat.
- Alamat : Hutan Lipur Lata Payung, Setiu, Terengganu
- Google Maps : KLIK
Waktu Operasi
- Setiap Hari Sepanjang Tahun
- Musim Tengkujuh Tidak Digalakkan (Fenomena “Kepala Air”)
Peta Ke Lata Payung

Aktiviti Menarik di Lata Payung
Permandangan di kawasan persekitaran Blue Pool sangat indah dan menakjubkan. Aliran air terjun yang sejuk dan jernih kehijauan ini pasti memberi keterujaan kepada setiap pengunjung. Blue Pool ini juga merupakan tempat persinggahan dan tarikan utama bagi pendaki Gunung Sarut. Untuk sampai ke kemuncak air terjun ini, anda perlu meredah laluan yang telah disediakan yang mengambil masa kira-kira 1 jam perjalanan jalan kaki dari tempat perkelahan.
Bagi penggemar aktiviti lasak dan mencabar, anda boleh melakukan aktiviti pendakian di Gunung Tebu. Pelbagai jenis spesies flora dan fauna yang jarang anda lihat sebelum ini terdapat disini. Ini kerana Hutan Lipur Lata Payung adalah jenis Hutan Dipterokarp Bukit serta Hutan Konifer di Kemuncak Gunung Tebu.

Pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan disini. Suasana yang redup di kelilingi dedaun yang rimbun sememangnya akan memberi ketenangan dan keselesaan kepada setiap pengunjung. Kawasan mandi di tempat perkelahan juga sangat mesra kanak-kanak kerana terdapat kawasan air sungai yang cetek dan tenang. Aktiviti-aktiviti menarik yang lain seperti ;
- Mandi-manda
- Berkelah
- Berkhemah
- BBQ
- Melihat Flora & Fauna
- Jungle Trekking
- Mendaki Gunung Tebu


Kemudahan asas juga disediakan di bahagian pintu masuk bagi keselesaan para pengunjung. Antaranya seperti ;
- Tempat rehat
- Jambatan gantung
- Gerai jualan
- Tandas
- Surau

Destinasi ini menjadi salah satu lokasi percutian baru yang mesti dikunjungi oleh anda bersama orang tersayang. Dengan suasana yang tenang dan damai sudah pasti dapat memberikan kenangan manis kepada setiap pengunjung. Rancang perjalanan anda bagi menikmati percutian yang menggembirakan.
Kredit Foto : gokelah.com, denai.my
LOKASI PERCUTIAN SETERUSNYA : Pulau Dayang, Johor