
Lata Keding Bukit Kudung merupakan kawasan rekreasi dan riadah yang mempunyai keindahan alam semulajadi yang sangat mempesonakan. Lokasi yang kaya dengan hidupan flora dan fauna ini adalah lokasi percutian yang baru ditemui dan masih kurang diketahui ramai. Lata Keding ini berpotensi menjadi kawasan rekreasi yang popular terutamanya bagi pencinta alam semulajadi kerana memiliki hutan yang masih terjaga dan keaslian sumber alam Khatulistiwa.
Di samping itu, Lata Keding Bukit Kudung ini juga menyimpan pelbagai khazanah alam dan sejarah yang tersendiri. Antaranya Bukit Kudung pernah menjadi kubu dan tempat persembunyian pihak komunis suatu ketika dahulu dan masih ramai yang tidak mengetahui tentang sejarah ini. Di sebalik keindahan Bukit Kudung yang setinggi 448 meter itu juga terdapat batu sempadan dikenali sebagai Batu 73 bersempadan dengan negara Thailand sejauh 2.3 kilometer. Lokasi ini turut tersenarai sebagai tempat menarik di Kelantan yang mampu menarik pelancong terutamanya di daerah Jeli.
ISI KANDUNGAN (Klik Untuk Terus Baca)
Cara Menuju Ke Destinasi
Bagi penduduk tempatan, lokasi Lata Keding ini sememangnya sudah lama diketahui kewujudannya. Lokasi lata ini terletak kira-kira 4 kilometer dari jalan utama Gemang dan boleh dihubungkan melalui jalan darat dengan sempurna. Laluan masuk utama ke Lata Keding adalah berhadapan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli. Pengunjung boleh memilih untuk menaiki kenderaan atau berjalan kaki untuk masuk ke kawasan ini.
- Alamat : Kampung Gemang, Jeli, Kelantan
- Google Maps : KLIK
Waktu Operasi
- Dibuka sepanjang tahun
- Tidak digalakkan datang pada musim tengkujuh.
Peta Ke Lata Keding

Aktiviti & Tarikan Menarik di Lata Keding Bukit Kudung
Bagi anda yang ingin lari dari kesibukan bandar dan tekanan kerja, lokasi Lata Keding adalah tempat yang sesuai untuk dijadikan lokasi percutian. Dengan memiliki air terjun yang sejuk dan jernih serta kawasan hutan semulajadi yang indah, anda boleh mengadakan aktiviti perkelahan, perkhemahan, dan mandi-manda bersama keluarga. Di sini juga terdapat kolam mata air berbentuk “love” yang menyambut kedatangan para pengunjung.

Selain itu, anda juga boleh melakukan aktiviti mendaki dan meneroka Bukit Kudung. Laluan mendaki di sini agak mencabar dan mempunyai banyak rintangan. Tetapi segala penat dan lelah semasa mendaki pasti terbayar setelah melihat keindahan alam semulajadi yang masih belum terusik. Aktiviti ini sangat sesuai bagi anda yang gemarkan aktiviti lasak dan mencabar.

Kemudahan di Lata Keding
Sebuah syarikat persendirian sedang membangunkan kawasan rekreasi ini dan menawarkan pelbagai kemudahan dan kelengkapan bagi keselesaan para pengunjung. Antara kemudahan yang terdapat di kawasan rekreasi ini adalah ;
- Restoran
- MiniZoo
- Tandas
- Dewan Terbuka
- Tapak Perkhemahan
- Chalet & Asrama
Pihak pengurusan sangat menitik beratkan penjagaan ekosistem dan sentiasa menasihati para pengunjung sentiasa menjaga kebersihan agar kehijauan flora dan fauna dapat dipelihara dan dikekalkan. Dengan memiliki permandangan alam semulajadi yang indah dan udara yang segar, Lata Keding Bukit Kudung menjadi salah satu lokasi percutian yang sesuai untuk anda sekeluarga. Rancang perjalanan anda bagi menikmati percutian yang menyeronokkan.

LOKASI PERCUTIAN SETERUSNYA : Desaru Coast Adventure Water Park, Johor