
Negeri Kelantan sememangnya terkenal dengan pusat rekreasi hutan lipur, air terjun dan jeram. Antaranya ialah air terjun Lata Janggut yang terletak di Kampung Lata Janggut, Jeli, Kelantan. Menurut masyarakat setempat, nama Lata Janggut ini telah wujud sejak sebelum tahun 1960-an lagi. Pada ketika itu, kawasan rekreasi ini masih diliputi dengan hutan tebal dan menjadi habitat utama ikan-ikan air tawar seperti ikan kelah, baung dan sebagainya. Secara tidak langsung, ia menjadi lokasi tumpuan penduduk tempatan untuk menangkap ikan. Kemudian pusat rekreasi ini telah dimajukan oleh Ketua Jajahan Jeli dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan KESEDAR.

Dengan berlatar belakangkan tumbuhan hijau, deruan air sungai yang mengalir beserta siulan burung-burung liar pasti memberi ketenangan kepada setiap pengunjung yang datang. Jadi, destinasi ini boleh disenaraikan sebagai salah satu tempat menarik di Kelantan untuk anda kunjungi.

Cara Menuju Ke Destinasi
Lokasi air terjun ini terletak hanya kira-kira 13 kilometer dari bandar Jeli dan boleh diakses dengan menaiki kereta, dan motosikal. Kemudahan jalan pula agak sempurna dengan dilengkapi jalan yang berturap. Lokasinya agak pedalaman jadi kawasan ini sangat sesuai untuk pencinta alam semulajadi kerana ia jauh dari kesibukan kota.
Waktu Operasi
- Dibuka Sepanjang Tahun

Aktiviti Menarik di Lata Janggut
Permandangan di kawasan persekitaran tempat rekreasi ini sangat indah dan tenang. Aliran air sungai yang jernih kehijauan pasti memberi keterujaan kepada setiap pengunjung. Permukaan geografinya yang agak berbatu juga membuatkan panorama sekitar air terjun sangat menarik untuk sesi fotografi. Walau bagaimana pun terdapat banyak kawasan landai yang sesuai untuk aktiviti perkelahan dan BBQ.

Untuk pengetahuan, tempat ini mempunyai tiga tingkat yang mana menjanjikan lokasi mandi-manda yang selamat apabila terdapat beberapa kolam yang terbentuk dari batu-batu di jeram itu. Jadi, ia sesuai untuk semua golongan termasuk kanak-kanak.

Di antara kemudahan dan kelengkapan yang disediakan di sini adalah seperti wakaf rehat, surau, tempat perkhemahan, laluan hutan dan tempat letak kenderaan. Pengunjung pastinya seronok kerana pusat rekreasi ini sedang dalam proses menaik taraf segala kemudahan bagi keselesaan para pelancong. Rancang perjalanan anda bagi menikmati percutian yang menggembirakan.
LOKASI PERCUTIAN SETERUSNYA : Air Terjun Jeram Pasu, Kelantan