Kolam Air Panas Jasin merupakan kawasan air panas semulajadi dari bawah tanah yang kaya dengan mineral dan sangat berkhasiat. Ia sebuah taman tema air rekreasi ekonomi yang bertemakan “Happy Outing With Family”. Kolam ini didakwa telah wujud sejak tahun 1880an, secara tidak langsung menjadikannya antara kolam air panas yang tertua di Malaysia. Difahamkan ia juga mampu untuk membantu merawat penyakit seperti strok, sakit sendi, sakit lutut, darah tinggi, radang kulit dan bermacam lagi. Selain itu, kawasan rekreasi ini turut tersenarai sebagai salah satu tempat menarik di Melaka yang mesti anda kunjungi.

Lokasi taman rekreasi ini disewa dengan Majlis Perbandaran Hang Tuah dan telah diuruskan oleh APJ Leisure Sdn Bhd sejak tahun 2008. Taman rekreasi yang berorientasikan keluarga ini sangat popular dan sering menerima kunjungan dari pelancong tempatan dan Singapura disebabkan lokasinya yang terletak agak strategik dan tidak jauh dari pusat bandar.

Kolam Air Panas Jasin

Cara Menuju Ke Destinasi

Kolam air panas ini terletak di dalam kawasan Kampung Ayer Panas, Bemban, Jasin kira-kira 20 minit perjalanan dari plaza tol Ayer Keroh dengai menaiki kereta. Bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan anda, boleh menggunakan aplikasi Waze dengan carian Kolam Air Panas Jasin. Ia juga berdekatan dengan Pekan Bemban, Jasin.

  • Alamat : Kampung Ayer Panas, Bemban, Jasin Melaka
  • Google Maps : KLIK
  • Hubungi : 019-6526170

Waktu Operasi 

  • 3 pm – 12 am (Isnin)
  • 9 am – 13 am (Selasa – Ahad)
  • Inflatable Waterpark hanya beroperasi pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad, Cuti Umum, & Cuti Sekolah sahaja

Peta Ke Kolam Air Panas Jasin

Kolam Air Panas Jasin

Harga Tiket Taman Rekreasi Kolam Air Panas Jasin

Apa yang paling menarik adalah harga tiket kemasukan sangat berpatutan untuk semua golongan. Pihak APJ ingin menjadikan kolam air panas ini sebagai sebuah taman tema yang sangat menyeronokkan dengan bayaran tiket masuk yang rendah dan berpatutan. Tiada had masa dan tiket sah untuk 1 hari. Pengunjung boleh keluar masuk ke kolam air panas bila-bila masa sahaja. 

Bayaran Tiket

1. Isnin – Khamis

  • Dewasa – RM10
  • Kanak-kanak – RM7
  • Warga Emas – RM7
  • Dewasa OKU – RM7
  • Kanak-kanak OKU – RM5

2. Jumaat hingga Ahad, Cuti Umum & Cuti Sekolah

  • Dewasa – RM12
  • Kanak-kanak – RM8
  • Warga Emas – RM8
  • Dewasa OKU – RM8
  • Kanak-kanak OKU – RM5

3. PERCUMA

  • Pesakit Strok
  • Parkinson
  • Pengguna Wheelchair
  • Kanak-kanak bawah ketinggian 85cm
Kolam Air Panas Jasin
Kolam Air Panas Jasin

Aktiviti Menarik di Taman Rekreasi Kolam Air Panas Jasin

Kolam air panas Jasin mempunyai 22 buah kolam yang terbahagi kepada tiga zon iaitu zon merah (43 darjah Celsius), Zon Oren (38 hingga 42 darjah Celsius) dan Zon Biru (38 darjah Celsius ke bawah). Bagi keselesaan para pengunjung, pihak APJ menawarkan pelbagai jenis kolam antaranya seperti kolam air panas, kolam air sejuk, kolam kanak-kanak, dan kolam waterslide yang memberi keistimewaan kepada golongan kanak-kanak.

Apa yang menarik, terdapat juga kolam khas untuk golongan wanita supaya mereka lebih selesa untuk mandi-manda dan beristirehat . Ini merupakan pengalaman taman tema yang lengkap dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Kolam Air Panas Jasin

Dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan dan kemudahan, pasti akan menggembirakan mana-mana pengunjung yang datang ke taman tema air ini. Lokasi percutian ini juga sangat sesuai dijadikan tempat untuk mengadakan Hari Keluarga dan lokasi perkelahan. Tambahan pula, kawasan rekreasi ini membenarkan pengunjung untuk membawa makanan dari luar. Selain itu, kemudahan seperti tempat BBQ, surau, tandas, dan bilik persalinan juga turut disediakan.

Pakaian untuk mandi adalah bebas kecuali seluar jeans, pakaian berzip, dan bikini tidak dibenarkan. Kolam Air Panas Jasin menjadi lokasi percutian yang berbaloi dan menarik untuk dikunjungi kerana ia merupakan sebuah pusat rekreasi yang lengkap dengan fasiliti dan sesuai untuk semua golongan. Rancang perjalanan anda bagi menikmati percutian yang menggembirakan.

LOKASI PERCUTIAN SETERUSNYA : Lata Kolam Air Deru Ecopark, Terengganu

error: Content is protected !!