
Kampung Pulau Tengah merupakan sebuah kampung yang teletak di Kubang Kerian, Kelantan. Pada mulanya kampung ini kurang dikenali oleh pelancong luar mahu pun masyarakat setempat. Namun, ia telah menjadi semakin popular dan mendapat perhatian para pengunjung dengan adanya ‘Jambatan Terapung Kubang Kerian’ di sepanjang denai Sungai Pengkalan Datu. Jambatan terapung ini dibina pada 24 Oktober 2020 dan telah dirasmikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man. Ia dibina bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2020 (HASN) yang bertemakan ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’.
Jambatan ini diperbuat daripada kayu yang berkualiti tinggi serta disokong oleh nibong menampakkan ia seakan-akan terapung di atas permukaan air. Panjangnya hampir 1 kilometer yang mana bermula di kawasan belakang Hospital Universiti Sains Malaysia dan berakhir di sekitar Min House Camp, Kubang Kerian. Lokasi yang tular di media sosial ini juga secara tidak langsung telah menjadi kawasan rekreasi dan eko-pelancongan baru di negeri Kelantan sekali gus membantu penduduk setempat menjana pendapatan.

Cara Menuju Ke Destinasi
Kampung Pulau Tengah merupakan sebuah kampung yang terletak di pinggir bandar Kubang Kerian iaitu bersempadan dengan daerah Bachok dan Kota Bharu. Lokasinya terletak hanya 1.5 kilometer dari Masjid Istana Negeri, Kubang Kerian dan 300 meter dari Min House Camp. Dengan persekitaran yang indah serta dikelilingi tumbuhan semulajadi yang menghijau, lakasi eko-pelancongan ini pasti memberikan ketenangan kepada setiap pelancong yang berkunjung.
- Alamat : Kampung Pulau Tengah, Kubang Kerian, Kelantan
- Google Maps : KLIK
Bayaran Masuk
- PERCUMA

Aktiviti Menarik di Jambatan Terapung Kubang Kerian
Untuk makluman, Jambatan Terapung Kubang Kerian ini telah tersenarai sebagai salah satu tempat menarik di Kelantan yang wajib anda kunjungi. Banyak aktiviti menarik yang boleh anda lakukan disini antaranya seperti ;
- Menaiki bot
- Berkayak
- Menuai Nira Nipah
- Mengutip Lokan
- Menangkap Ketam Nipah
- Melihat sangkar Ikan Siakap dan Ikan Kerapu
- Melawat ladang Lebah Kelulut
- Berkunjung ke Taman Kelip-Kelip pada waktu malam

Bagi pencinta alam semulajadi, anda boleh menikmati keindahan panorama yang indah ini sambil menyusuri denai sungai Pengkalan Datu. Dengan berlatarbelakangkan hutan yang menghijau serta air sungai yang tenang, sangat sesuai untuk sesi photografi. Jadikan pengalaman ini satu kenangan yang indah bersama keluarga dan orang tersayang. Perjalanan anda pasti akan ditemani oleh deruan angin yang segar serta kicauan merdu burung-burung yang hinggap di dedahan pokok.

Selain itu, kemudahan tempat makan juga turut tersedia. Terdapat beberapa restoran yang beroperasi di sepanjang Sungai Pengkalan Datu ini. Jadi, setelah penat menikmati keindahan alam, bolehlah singgah berehat dan menjamu selera di restoran-restoran berdekatan yang menawarkan pelbagai menu yang menarik seperti masakan panas, masakan popular masyarakat tempatan, masakan western, dan banyak lagi. Setiap restoran mempunyai kelainan yang tersendiri.


Berikut adalah restoran-restoran yang terdapat di sepanjang Sungai Pengakalan Datu ;
- Anjung Selera Min House Camp
- Abg Mi Tepi Jambatan
- Selera Pulau
- Mbee Island
- Astakona Riverview Island
Bagi pengunjung yang ingin bermalam pula, terdapat resort dan rumah tumpangan di kawasan berdekatan. Yang paling penting adalah harganya sangat berpatutan dan sesuai untuk semua golongan.

Rancang perjalanan anda bagi menikmati percutian yang menggembirakan.
Kredit Photo : Yaho Bravo
LOKASI PERCUTIAN SETERUSNYA : Muzium Kapal Selam,Melaka